Keutamaan Ilmu dari Shalat Sunah
Ada 6 faktor yang menjadikan perbuatan menyibukkan diri dengan ilmu itu lebih utama (أفضل) berbanding melakukan ibadat-ibadat sunat seperti solat sunat, puasa sunat, tasbih dan doa.
Pertama : Ilmu ini, manfaatnya meliputi pemiliknya dan juga orang selainnya. Manakala ibadat sunat, manfaatnya terhad dan terbatas kepada pelakunya sahaja.
Kedua : Ilmu berperanan untuk memperbetulkan ibadat-ibadat sunat. Solat, tasbih, zikir, doa, semuanya berkehendak kepada ilmu dalam pelaksanaannya. Manakala ibadat-ibadat sunat tidak berperanan untuk memperbetulkan ilmu.
Ketiga : Para ulama disifatkan sebagai pewaris para Nabi. Namun tidak disifatkan ciri yang sama kepada para ‘abidin (ahli ibadat). Ini berdalilkan sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda :
وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ
Terjemahan : Para ulama merupakan pewaris para Nabi.
Riwayat Abu Daud (3461)
Keempat : Mentaati orang yang berilmu merupakan suatu kewajipan ke atas golongan yang tidak berilmu. Ini berdalilkan firman Allah SWT :
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Terjemahan : Hendaklah kamu bertanya kepada ahli al-zikr (golongan yang berilmu), sekiranya kamu tidak tahu.
Surah Al-Nahl (43)
Pada arahan untuk bertanya soalan kepada para ulama itu terdapatnya suruhan untuk mentaati mereka.
Demikian berdasarkan firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ
Terjemahan : Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul, serta (taatlah kamu) kepada ulil amri dari kalangan kamu.
Surah Al-Nisa’ (59)
Sesungguhnya perkataan ‘ulil amri’ turut meliputi para ulama. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi. Justeru, ini merupakan dalil kewajipan mentaati para ulama.
Kelima : Kesan-kesan ilmu akan kekal meskipun setelah pemiliknya meninggal dunia. Ini berbeza dengan ibadat-ibadat sunat. Kerana secara kebiasaannya, kesan ibadah tersebut akan terputus sebaik pelakunya meninggal dunia. Meskipun tidak dinafikan, ada ibadah sunat yang kesannya kekal. Namun, kesan ilmu adalah jauh lebih utama dan lebih kekal sesudah kematian pemiliknya. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda :
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Terjemahan : Apabila matinya seorang manusia itu, terputuslah seluruh amalannya kecuali dari tiga amalan. Iaitu dari sedekah yang mengalir (manfaatnya), ilmu yang dimanfaatkan, atau anak soleh yang mendoakan kebaikan untuknya.
Riwayat Muslim (1631)
Keenam : Kekalnya ilmu membawa kepada proses menghidupkan syariah serta menjaga syariah dari kecuaian dan pengabaian. Sesiapa sahaja yang membantu menjaga syariah serta menghidupkannya adalah lebih utama berbanding mereka yang tidak melakukannya.
✍🏻 Muhammad Fahmi Rusli